“Pengalaman bekerja dalam kerajaan dahulu telah membuka mata saya apabila menyaksikan pelbagai projek tergendala dan kurang memuaskan ekoran terdapatnya elemen rasuah” itu kata Calon DUN Taboh Naning, Abu Hashim Abdul Samad.

Menurut sebolehnya dia akan membasmi semua kes rasuah di kawasan beliau oleh itu, beliau perlukan mandat daripada rakyat bagi menjayakan wawasan itu.

“Saya tidak boleh bersabar lagi, saya akan perangi penjilat najis ini habis-habisan, kerana semakin mengancam kesejahteraan negara terutama dalam sektor kerajaan.

“Sekiranya najis muralazzah anjing dan babi ianya masih lagi boleh disertu, tapi najis ini mengalir dalam perut anak cucu, takkan 64 tahun merdeka masih lagi dengan sikap sama?

“Ambil kaedah pejam mata semata-mata mahu menjaga kroni dan ingin jaga kedudukan dalam pemilihan ketua cawangan,” katanya.

Menurut potong sahajalah tangan yang direndam najis itu, rakyat sukar memaafkanya. Mereka kaya sampai ke anak cucu, sedangkan rakyat menderita kesusahan selepas memberi undi pada golongan ini.

“Itu belum dikira golongan komunis yang berselindung kononnya membawa misi harga minyak murah, akhirnya agama dan bangsa digadaikan.

“Apa yang mendorong saya untuk bertanding kali ini kerana cita-cita saya untuk bebaskan negara daripada belenggu rasuah, selain berusaha menjadi contoh pemimpin yang bersih dan berintegriti.

“Negara perlu dibersihkan daripada isu rasuah. Maka negara memerlukan pemimpin yang amanah dan sanggup berkhidmat untuk seluruh masyarakat, bukannya demi kepentingan diri,” katanya.

Mengulas lanjut, bekas Leftenan Kolonel Rejimen Askar Wataniah Melaka itu berkata, PRN kali ini harus digunakan sepenuhnya oleh rakyat dalam memilih barisan kepimpinan yang telus memperjuangkan nasib rakyat.

“Adakah rakyat Melaka selamanya mahu melihat apa yang telah terjadi di negeri ini berulang lagi? Keputusan di tangan rakyat.

“Jika pemimpin itu jujur dan ikhlas berkhidmat, pastinya tiada isu rasuah akan timbul. Malah isu lompat parti juga tidak akan berlaku,” katanya.

Tamat