Walaupun terdapat SOP baru dalam proses membuang undi, keadaan di Pusat Daerah Mengundi, tetap meriah pengundi keluar awal bagi menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat.

Setakat ini Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) memaklumkan sebanyak 27 peratus pengundi keluar mengundi sejak Pusat Daerah Mengundi (PDM) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dibuka pada jam 8 pagi hingga jam 11 pagi tadi.

Berdasarkan tinjauan awal di beberapa lokasi PDM sesak dengan trafik dan dikawal polis trafik bagi melancarkan aliran kenderaan.

Di DUN Durian Tunggal, trafik agak sesak ekoran ramai pengundi mula keluar awal menjalankan tanggungjawab mengundi pada hari ini begitu juga di PDM DUN Duyong, situasinya turut sama.

Warga emas dan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) diberi keutamaan dengan disediakan laluan khas bagi memudahkan proses undian berjalan lancar.

Di kawasan bandar, kaum Cina dan India antara pengundi terawal yang keluar mengundi berbanding masyarakat Melayu.

Manakala di kawasan sub urban masyarakat Melayu mula memenuhi kawasan PDM bagi melaksanakan tanggungjawab mengundi.

Pegawai bertugas di PDM memantau untuk memastikan prosedur operasi standard (SOP) semasa mengundi dipatuhi oleh para pengundi.

Pengundi diambil saringan suhu, dipastikan mendaftar dengan aplikasi MySejahtera, sanitasi tangan dan dipantau supaya menjaga penjarakan fizikal.

Selain itu, kerusi yang digunakan pengundi di bilik mengundi sentiasa disanitasi oleh pegawai bertugas.

Kelainan yang dirasai pada hari mengundi di era norma baharu tidak semeriah pilihan raya sebelum pandemik Covid-19 iaitu tiada perarakan dan perhimpunan penyokong daripada parti yang bertanding berikutan pematuhan SOP yang dikeluarkan SPR bagi mengekang penularan Covid-19.

Sebanyak 217 pusat mengundi dan 1,109 saluran dibuka pada hari ini untuk tujuan pengundian.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia menggunakan khidmat seramai 12,290 orang petugas bagi proses pengundian.

Dijadualkan seramai 476, 037 orang pengundi akan keluar mengundi pada PRN Melaka.

Seramai 112 calon daripada Perikatan Nasional, Barisan Nasional, Pakatan Harapan, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia, Parti Perikatan India Muslim Nasional dan Bebas layak bertanding pada PRN Melaka kali ini, dengan pertandingan enam penjuru di tiga kawasan DUN membabitkan kerusi DUN Asahan, Duyong dan Gadek.

Sebanyak lima kerusi iaitu DUN Rembia, Machap Jaya, Paya Rumput, Pengkalan Batu dan Bemban pula menyaksikan pertembungan lima penjuru.

Sembilan DUN menyaksikan pertandingan empat penjuru manakala 11 lagi DUN, tiga penjuru.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran DUN pada 4 Oktober lepas setelah empat ADUN menarik sokongan terhadap kepimpinan ketua Menteri.

Tamat