“Sebab bagi saya, apabila bergabung bersama dan bekerja lebih kuat, kita akan jadi pencabar utama kepada Barisan Nasional,” itu kata Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang media di bilik gerakan utama PN semalam.

PN bakal menjadi pencabar utama kepada BN pada pilihan raya yang akan datang kerana gabungan parti yang ditubuhkan itu menawarkan suatu bentuk parti yang mendukung kerajaan yang lebih baik.

“Ini bagi saya penting, bukan soal peribadi saya atau soal apa. Kerana kita berpendapat, pembentukan bersatu dan gabungan PN suatu perkembangan politik sihat dalam sistem demokrasi berparlimen.

“Apakah saya harus tinggalkan prinsip ini untuk tujuan ke parti asal saya? Tidak sekali-kali,” katanya.

Menurut beliau, PN juga berpegang kepada prinsip ketelusan, integriti, menentang rasuah dan salah guna kuasa.

Tambah Muhyiddin, penubuhan PN juga bagi memberikan tambahan kepada rakyat untuk membuat pilihan yang lebih banyak.

Muhyiddin turut memberikan respons terhadap kenyataan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam yang meminta beliau membubarkan partinya.

“Terima kasih kepada Lokman Adam jadi penasihat saya. Tetapi minta maaf kerana kita sudah berhijrah jauh dan kita yakin dengan prinsip dan asas pembentukan PN.

Pada Sabtu, Lokman meminta untuk Muhyiddin membubarkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan kembali kepada UMNO.

Jelas Lokman, ia adalah bagi mengukuhkan kedudukan dan kepentingan Melayu dan Islam.

Tamat