“Tidak ada pun dalam kenyataan saya yang PAS mahu gugat kubu BN. Bacalah betul-betul sebelum buat komen, anda kan ketua Pemuda,” itu saranan Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari kepada rakan sejawatnya Asyraf Wajdi Dusuki dengan pesanan supaya ketua pemuda Umno itu menjaga tarafnya.

Malah anggota Parlimen Pasir Mas itu turut menafikan dia mengeluarkan kenyataan mengatakan PAS mahu menggugat kubu BN.

“Belajar cari kenyataan asal, copy paste ke dalam Microsoft Word, gunakan kekunci Ctrl+F dan cari perkataan ‘gugat’.

“Yang anda akan jumpa ialah sekiranya PH masih bermain dengan sentimen yang menggugat keharmonian negara dan kerukunan Keluarga Malaysia, tidak mustahil hanya DAP yang akan kekal, dan parti lain akan terus tersungkur,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Terdahulu satu portal berita melaporkan Asyraf mendakwa Ahmad Fadhli mengeluarkan kenyataan angkuh berhubung keputusan pilihan raya negeri (PRN) Melaka.

Menurut Ahmad Fadhli menjelaskan perkataan ‘gugat’ hanya diguna dalam laporan berita online tempatan.

“Takkanlah nak buat kerja senang macam tu pun tak boleh. Yang sebut perkataan ‘gugat’ itu ialah Utusan. Buat kerja rumah sikit ya, jaga taraf kita tu.

“Ops maaf, dua kali bertanding pilihan raya dua kali kalah, what do you expect,” katanya.

Sebagai rekod Asyraf bertanding di Parlimen Tumpat dalam pilihan raya umum ke-12 (PRU) dan Parlimen Pasir Puteh pada PRU14, bagaimanapun gagal dalam kedua-dua percubaan.

Tamat