PAS lantang nengingatkan pada semua parti gabungan bahawa kerajaan yang ada kini dibentuk hasil gabungan semua parti bukannya hanya milik Barisan Nasional.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata perkara berkenaan perlu diingatkan kepada semua apabila ramai di kalangan pemimpin BN merasakan seakan mereka ‘menang besar’ dan besar kepala selepas memenangi PRN Melaka.

“Saya melihat ia isu berbeza dan ini dalam konteks Melaka saja.

“Jangan lupa kerajaan yang diterajui BN juga dianggotai oleh PAS, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Itu perlu ingat, sikit mahu ingat dan kita sama-sama menjaga, membantu kerajaan Melaka yang baharu,” katanya ketika diminta mengulas adakah kejayaan UMNO bergerak solo dalam PRN Melaka, dilihat seolah-olah mencabar Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Jalan Sultanah Zainab, di sini, hari ini.

Takiyuddin yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli, turut menjelaskan kerajaan di peringkat Persekutuan juga adalah kerajaan yang tidak stabil tanpa gabungan semua parti itu.

Sementara itu ketika ditanya mengenai kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang meminta PRU diadakan dalam masa terdekat, Takiyuddin berkata, perkara itu adalah keputusan Kabinet.

“Yang menentukan PRU adalah Kabinet, bukannya parti tertentu. Malah, Kabinet terdiri daripada pelbagai parti.

“Maka, biarlah Perdana Menteri yang menentukan tarikh PRU,” katanya.

Tamat