PETALING JAYA: Kerjasama di antara Pas dan UMNO akan bersatu jika hubungan itu membawa kepada kestabilan politik negara serta memberi manfaat kepada rakyat.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya melihat perkara itu kepada arah yang positif dan merupakan sebuah formula politik baharu yang membawa kepada kestabilan pentadbiran negara.

Menurutnya, Pas bersedia untuk bekerjasama dengan semua komponen parti politik negara dalam satu kerajaan.

“Disebabkan di peringkat Persekutuan kami mentadbir bersama dan bekerja sekali, jadi saya tiada masalah untuk bersama kerana ini juga merupakan amalan demokrasi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran Green Electricity Tariff (GET) di ibu negara hari ini.

Beliau ditanya soalan mengenai kerjasama Pas dan UMNO dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).