PETALING JAYA: Tiga pemimpin tertinggi Pas yang sebelum ini kalah dalam pemilihan pucuk pimpinan tertinggi parti pada awal bulan ini dilantik semula. 

Pemimpin-pemimpin berkenaan ialah Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki yang dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat setelah gagal mencabar penyandang Naib Presiden Pas, Idris Ahmad; Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dan Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar. 

Pelantikan baharu itu adalah menerusi kenyataan oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada Mesyuarat Kali Ke-2 Jawatankuasa Kerja Pas Pusat pada Ahad lalu yang dipengerusikan oleh Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang. 

Selain itu, Takiyuddin turut mengumumkan pelantikan semula Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali yang sebelum ini gagal mendapat sebarang tempat dalam pemilihan parti. 

Ketiga-tiga pemimpin itu difahamkan memihak supaya Pas menjalin kerjasama dengan UMNO ketika ia didakwa bertentangan dengan pendirian Abdul Hadi yang mahu partinya kekal bersama Perikatan Nasional (PN) diterajui Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). 

Secara keseluruhan, seramai sembilan orang dilantik sebagai AJK PAS Pusat termasuk Datuk Awang Hashim, Misbahul Munir Masduki, Mohd Yusni Mat Piah, Dr. Mohd Mazri Yahya, Wan Rohimi Wan Daud dan Dr. Abdul Hakeem Johari.- UTUSAN ONLINE