PETALING JAYA: Pas dijangka menentukan hala tuju parti itu sama ada terus bersama dengan Perikatan Nasional (PN) atau Muafakat Nasional (MN) dalam tempoh terdekat.

Naib Presiden PAS, Idris Ahmad berkata, perkara itu akan diumumkan oleh Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

“Nanti Setiausaha Agung akan keluarkan kenyataan. Insya-Allah dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hala tuju Pas selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ini kerana, beberapa pihak mendakwa akar umbi Pas dilihat menyokong MN bersama UMNO berbanding PN meskipun parti itu menggunakan lambang PN dalam pilihan raya itu.

Dalam PRN itu, Pas tewas di semua lapan kerusi ditandingi sekali gus mengulangi kekalahan ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Sementara itu di Kota Bharu, Takiyuddin ketika ditanya tentang perkara itu sekadar mengulangi skrip lama iaitu Pas sentiasa mengkaji segala kemungkinan namun agenda penyatuan ummah kekal sebagai perkara pokok.

“Baru-baru ini pun kita sudah mengusahakan supaya dalam PRN Melaka tidak berlaku perpecahan, tetapi apabila tidak ada pilihan, itulah yang berlaku,” kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli serta Ahli Parlimen Kota Bharu itu selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran beberapa buah rumah di Jalan Sultanah Zainab, di sini baru-baru ini.

Ditanya kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam PRN Melaka yang seolah-olah mencabar PN dan MN, beliau berkata, kejayaan solo parti tersebut hanya dalam konteks negeri itu.

“Semua pihak jangan lupa kerajaan Persekutuan yang diterajui BN juga dianggotai oleh gabungan pelbagai parti iaitu Pas, Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dan GPS (Gabungan Parti Sarawak).

“Kerajaan Persekutuan tidaklah stabil. Sikit mau ingatlah, jadi kita sama-sama jaga, sama-sama membantu kerajaan Melaka yang baharu ini,” ujarnya.

Mengulas desakan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan secepat mungkin, Takiyuddin berkata, perkara itu ditentukan Kabinet, bukan parti tertentu. – UTUSAN ONLINE