Nilai pampasan RM 100 juta seiring dengan usaha kerajaan negeri yang mengekalkan kawasan hutan simpan sebagai kawasan tadahan untuk keperluan bersama, makanan negara, serta air Perlis serta Pulau Pinang.

Menteri Besar Kedah Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, nilai berkenaan mengambil kira kerugian akibat kehilangan hasil hutan, kos penyelenggaraan sumber dan aliran bagi memastikan hutan dan kelestarian alam semula jadi.

“Kerajaan negeri bagaimanapun berharap pemberian pampasan itu adalah dalam bentuk pampasan fiskal bukan berbentuk kos projek penanaman pokok atau sebagainya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Muhammad Sanusi mengulas pengumuman Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob di Bera, Pahang semalam mengenai pemberian pampasan kepada negeri yang mengekalkan hutan simpan sebagai kawasan tadahan air dan melindungi daripada sebarang kegiatan pembalakan haram.

Menurut Muhammad Sanusi, Kedah mengekalkan kawasan hutan simpan bukan semata-mata untuk manfaat kegunaan domestik tetapi juga sebagai suatu pengorbanan untuk seluruh negara.

“Fungsi kawasan tadahan hutan simpan Kedah juga untuk pengairan kawasan penanaman padi bukan sahaja di Kedah tetapi negeri-negeri berjiran iaitu Pulau Pinang dan Perlis.

“Kedah turut membekalkan 43 peratus daripada keperluan beras nasional yang begitu membantu Kerajaan Persekutuan menjimatkan kos import bahan makanan asasi itu dari luar negara,” katanya.

Untuk rekod, luas keseluruhan kawasan berhutan Kedah ialah 344,865.09 hektar yang meliputi 36.4 peratus daripada keseluruhan negeri.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata kawasan tadahan Hutan Simpan Hulu Muda seluas 163,000 hektar turut membekalkan air kepada Pulau Pinang dengan mengabstrak 1,100 juta liter air sehari dari Sungai Muda berbanding rakyat negeri ini sendiri menggunakan 800 juta liter air sehari dari sungai itu.

“Sebanyak 80 peratus air kegunaan air Pulau Pinang setiap hari adalah diabstrak daripada Sungai Muda. Kerajaan Pulau Pinang bukan sahaja tidak pernah membayar malah surat-surat dihantar untuk ajak runding perkara itu juga tidak pernah dijawab.

“Apabila wujud kos untuk penyelenggaraan dan pengekalan sumber air termasuk kawasan tadahan selain kos melepas akibat kehilangan hasil hutan, pembayaran pampasan ini telah ditunggu oleh kerajaan dan rakyat Negeri Kedah sejak sekian lama,” katanya.

Tamat