Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan empat wakil rakyat gagal dalam rayuan mereka untuk mencabar tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihati Yang di-Pertuan Agong menggantung Parlimen semasa tempoh darurat.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Datuk Has Zanah Mehat menolak rayuan Anwar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram dan Ahli Parlimen Pulai Datuk Seri Salahuddin Ayub, ADUN Gurun dan Ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul, ADUN Tebing Tinggi Abdul Aziz Bari dan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim untuk kebenaran memulakan permohonan semakan kehakiman terhadap bekas perdana menteri itu dan kerajaan.

“Ia akan dilaksanakan dengan sia-sia kerana mahkamah dilarang oleh Perkara 150 (8) Perlembagaan Persekutuan daripada mempersoalkan penggunaan budi bicara oleh Yang di-Pertuan Agong mengenai pengisytiharan darurat,” katanya.

Beliau berkata, kuasa mahkamah bergantung kepada apa yang diperuntukkan oleh perlembagaan, bukannya apa yang difikirkan oleh sesetengah pemikir politik apa itu kuasa kehakiman.

Hakim itu berkata, menurut Perkara 150 (6) dan (8) Perlembagaan Persekutuan, Parlimen berhasrat untuk mengecualikan semakan kehakiman terhadap keputusan mengisytiharkan darurat serta menutup pintu mahkamah terhadap sebarang cabaran undang-undang yang dibuat semasa darurat dan pengisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Mahkamah tidak mendapati kesilapan undang-undang oleh tiga hakim Mahkamah Tinggi semasa menolak kebenaran untuk semakan kehakiman. Oleh itu, kami menolak rayuan tanpa perintah mengenai kos,” kata Hakim Has Zanah, yang bersidang bersama Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, dalam prosiding yang dijalankan secara maya.

Pada 22 April lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Anwar untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman untuk mencabar nasihat Muhyiddin kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menggantung sidang Parlimen darurat seluruh negara. – SINAR