Penduduk kampung terkejut apabila terjumpa mayat seorang lelaki dalam keadaan terbaring di tepi jalan dekat Ladang Sawit TSK Kuala Kuang, Kupang, Baling dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, mangsa dikenali sebagai Rodzi Md Rejab, 45, dari Kampung Masjid Kuala Kuang, Baling.

Menurutnya, polis menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan penemuan mayat lelaki di kawasan ladang tersebut.

“Pada jam 12 tengah hari, anggota bertugas di kaunter aduan Balai Polis Kupang telah terima panggilan telefon daripada orang awam memberitahu penduduk Kampung Kuala Kuang telah menjumpai mayat seorang lelaki dalam keadaan terbaring,” katanya dalam satu kenyataan media tadi.

Susulan kejadian berkenaan, Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Baling telah dihubungi untuk membuat pemeriksaan.

Katanya, hasil pemeriksaan pihak PKD mendapati mangsa telah cukup dos vaksin Covid-19.

“Dalam pada itu, hasil temu bual dengan waris memaklumkan mangsa yang tidak mempunyai sejarah masalah kesihatan telah keluar pada jam 3 petang Selasa untuk memasang bubu ikan.

“Siasatan di tempat kejadian tidak menemui sebarang unsur jenayah dan tiada kesan kecederaan di tubuh badan mangsa,” katanya.

Tamat