“Sebaik-baik perjanjian yang termeterai sejak berpuluh tahun adalah di Himpunan Perpaduan Ummah (HPU) yang membentuk Muafakat Nasional (MN),” itu kata Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Menurutnya, ini kerana ia perjanjian yang diberkati ALLAH SWT ‘dengan serta-merta’ dan kurniaan hujanan air mata rakyat di seluruh negara dalam menyatupadukan dua kumpulan umat Islam terbesar negara.

“Ia menyatukan dua kumpulan besar umat Islam yang bertelagah sejak puluhan tahun,” katanya menerusi satu posting di laman media sosial Facebook rasmi miliknya.

Ahli Parlimen Bachok itu berkata, perjanjian berkenaan juga meruntuh segala marak kemarahan dan dendam serta terbinanya rahmat dan kasih sayang sesama umat.

“Jika Pas boleh bertahan dengan DAP dalam Pakatan Rakyat (PR) selama lebih tujuh tahun demi bersama menentang ketidakadilan kerajaan Barisan Nasional (BN) masa itu, maka tidak malukah kita pada ALLAH SWT, jika tidak mahu malu pada diri sendiri dan pada rakyat, dengan membiarkan api kepanasan terus mara dan marak sesama pemimpin yang pasti boleh menyebabkan MN runtuh dalam tempoh yang singkat?

“Gembirakah kita untuk kembali menukarkan air mata kasih sayang dan kegembiraan kepada kebencian, dendam dan berburuk sangka sesama umat?” katanya.

Tamat