Akibat kekalahan besar PKR dah PH, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui terpaksa memikul Batu bebanan besar di atas kepalanya pada Pilihan Raya Negeri Melaka, Sabtu lalu.

Anwar yang juga Presiden PKR, berkata beliau dan PH akan mengambil kira semua pandangan yang dilontarkan, termasuk kritikan mengenai silap percaturan dengan keputusan mengambil dua bekas ADUN Barisan Nasional (BN) bagi mewakili PH, selain desakan supaya beliau berundur daripada memimpin pembangkang.

“Saya kena pikul tanggungjawab, saya tidak dapat nafikan tapi orang bila buat begitu (kritikan mengenai pengambilan dua ADUN, dia tidak cerita sepenuhnya,”

Anwar memaklumkan, usul supaya empat ADUN daripada BN, BERSATU dan Bebas menyokong PH sehingga membawa kepada kejatuhan kerajaan BN di Melaka adalah daripada kepimpinan PH Melaka sendiri.

Katanya, beliau dan pimpinan PH pusat pada mulanya tidak bersetuju untuk mengambil dua bekas ADUN berkenaan iaitu Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan kerana bimbang mereka akan berpaling tadah, namun pemimpin itu yakin, cara itu akan mengembalikan mandat PH.

“Apabila DUN dibubar, kita ada masalah. Bagaimana kita boleh ketepikan dan buang begitu saja (ADUN berkenaan). Orang-orang ini (mereka yang mengkritik) tidak peduli itu semua,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai desakan seorang pemimpin DAP supaya beliau meletak jawatan, Anwar berkata, semua pandangan akan diteliti, namun ia tidak boleh dibuat secara angkuh.

“Jangan nampak pandangan itu dilihat sebagai angkuh, yang menimbulkan reaksi tidak baik dalam kalangan yang lain.

“Mengenai post mortem, itu segera dilakukan dan tadi, saya berjumpa semua Ahli Parlimen (PH) dan pesan pada semua pemimpin negeri, selain satu jawatankuasa bebas diwujudkan bagi membuat penilaian,” katanya.

Pada PRN Melaka, PH hanya menang lima kerusi iaitu empat oleh DAP dan satu daripada Parti Amanah Negara (AMANAH) manakala PKR tewas di semua 11 kerusi yang ditandingi.

Tamat