Isu air Kedah dan Pulau Pinang sekali lagi menghangatkan rakyat apabila Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menuntut hak rakyat Kedah apabila Pulau Pinang tidak mampu membayar jumlah air mentah yang digunakan.
Menurut beliau melalui satu posting di laman Facebook rasmi miliknya mengatakan Ketua Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow tidak mampu membayar jumlah air yang digunakan.
“Saya ambil kesempatan pertemuan di Istana Negara malam tadi untuk bertanya kepada YAB Ketua Menteri Pulau Pinang secara berdepan dan berterus terang tentang bayaran air mentah kepada Kedah.
“Jawapan YAB Ketua Menteri Pulau Pinang kepada saya- Penang tidak mampu membayarnya, hasil kami tidak banyak.
“Sukar sekali menghadamkan jawapan beliau kerana semua orang tahu PBA menjana pendapatan dan keuntungan yang banyak daripada industri bekalan air kepada sektor industri, perkapalan dan domestik, daripada air mentah yang berpunca dari Kedah,”
Menurut Sanusi, ini jelas menunjukkan Pulau Pinang tidak mampu menjana keuntungan daripada apa yang diusahakanya selama ini dan terpaksa bergantung dengan negeri jirannya Kedah.
“Tuntutan bayaran air mentah ini adalah untuk negeri dan rakyat Kedah, menuntut hak yang wajar dan munasabah daripada pengorbanan Kedah menyimpan kawasan tadahan ratusan ribu hektar.
“Dari situlah mengalirnya sungai-sungai membekalkan air mentah untuk minuman dan kawasan pertanian makanan untuk Kedah, Pulau Pinang dan Perlis,” katanya.
Sementara itu, Kon Yeow berkata, pendirian Pulau Pinang itu juga telah berulang kali dinyatakan secara rasmi sebelum ini
“Saya tertarik dengan kenyataan Menteri Besar Kedah yang dimuat naik menerusi laman sosial Facebook beliau. Saya dengan ini menegaskan bahawa pendirian Pulau Pinang sudah banyak kali dinyatakan secara rasmi.
“Kita tidak akan bayar kerana isu bayaran adalah tidak berbangkit, ini kerana kita ambil air dari sempadan negeri kita, nampaknya Kedah masih tidak mahu faham,” katanya menerusi laman sosial Facebook di sini hari ini.
Tamat.