Mahkamah Tinggi di sini sebentar tadi membenarkan permohonan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk memindahkan empat kes jenayah yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen ke mahkamah lebih tinggi.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan memutuskan demikian atas alasan terdapat kemungkinan timbulnya persoalan-persoalan berkaitan Perlembagaan.

“Saya yakin akan terdapat kemungkinan timbulnya persoalan-persoalan perundangan yang luar biasa dan ia akan mempercepatkan proses keadilan sekiranya kes dibicarakan di Mahkamah Tinggi. Oleh itu, permohonan adalah dibenarkan,”katanya.

Pada prosiding hari ini, bekas Menteri Belia dan Sukan itu diwakili peguam, Gobind Singh Deo manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharudin Wan Ladin.

Pada 19 Ogos lalu, bekas Menteri Belia dan Sukan itu memohon kesnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini, atas alasan terdapat isu Perlembagaan yang akan dibangkitkan dalam kes itu yang hanya boleh diputuskan di Mahkamah Tinggi.

Pada 22 Julai lalu, Syed Saddiq yang juga Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) BERSATU didakwa telah melakukan pecah amanah terhadap dana ARMADA dengan membuat pengeluaran wang berjumlah RM1 juta melalui cek CIMB Bank Berhad, tanpa mendapat kebenaran daripada Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU.

Syed Saddiq juga didakwa atas tuduhan penyalahgunaan wang sumbangan untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) sebanyak RM120,000 yang dikutip melalui akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise.

Pada 5 Ogos lalu, di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Syed Saddiq menghadapai dua lagi pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram berjumlah RM100,000 yang dikatakan hasil wang haram dengan memindahkan wang tersebut ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) miliknya. -UTUSAN ONLINE