Kelihatanya seolah-olah kapal Pakatan Harapan (PH) Sarawak mula terumbang-ambing tanpa seorang nakhoda semasa pelayaran apabila mereka menggunakan logo masing-masing di setiap kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kali ini.

Pengerusi PH Sarawak, Chong Chieng Jen, berkata pihaknya turut memutuskan untuk setiap parti menentukan calon di kerusi masing-masing, yang sudah pun diagihkan.

“Setiap parti akan menentukan calon masing-masing, termasuk penggunaan logo (parti) untuk kempen dan kertas undi,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat PH Sarawak di Ibu Pejabat DAP Sarawak di sini, hari ini.

Parti komponen PH Sarawak terdiri DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (AMANAH).

Chieng Jen yang juga Pengerusi DAP Sarawak berkata, PH negeri juga akan bertanding di semua 82 kerusi dan pengagihan kerusi sudah pun dibuat.

DAP bertanding di 26 kerusi DUN Tasik Biru, Padungan, Pending, Kota Sentosa, Batu Kitang, Batu Kawah, Stakan, Mambong, Kedup, Bukit Semuja, Simanggang, Repok, Meradong, Bukit Assek, Dudong, Bawang Assan, Pelawan, Pelagus, Bukit Goram, Baleh, Tanjong Batu, Kemena, Samalaju, Piasau, Pujut dan Senadin.

PKR pula di 47 kerusi DUN iaitu Opar, Tanjung Datu, Pantai Damai, Tupong, Satok, Batu Lintang, Asajaya, Serembu, Tarat, Tebedu, Sadong Jaya, Simunjan, Lingga, Beting Maro, Balai Ringin, Bukit Begunan, Engkilili dan Batang Ai.

Selain itu, Saribas, Layar, Bukit Saban, Kalaka, Krian, Daro, Pakan, Meluan, Ngemah, Machan, Nangka, Dalat, Tellian, Balingian, Tamin, Kakus, Katibas, Belaga, Murum, Jepak, Bekenu, Lambir, Marudi, Telang Usan, Mulu, Bukit Kota, Batu Danau, Ba’ Kelalan dan Bukit Sari.

Sementara itu, parti AMANAH pula diperuntukkan sembilan kerusi iaitu DUN Demak Laut, Samariang, Muara Tuang, Gedong, Sebuyau, Kabong, Kuala Rajang, Semop dan Jemoreng.

Tamat