Pihak Suruhanjaya Pilihanraya perlu lebih realistik dalam usaha menentukan SOP buat Pilihan Raya Negeri Sarawak, dengan mengambil kira segala bentuk kemudahan, bentuk muka bumi, serta aspek lain nanti.

Penganalisis politik UNIMAS, Dick Lembang Dugun berkata, SPR perlu meneliti sekecil-kecil perkara untuk PRN Sarawak kerana geografi dan demografinya yang berbeza

Menurutnya, keselamatan kesihatan tetap perlu dititik beratkan dalam meraikan demokrasi, namun tidaklah perlu terlalu ketat sehingga menyukarkan usaha berkempen di negeri terbesar Malaysia itu.

“Harus diingatkan di Sarawak ini jaringan internet sangat lemah terutama di kawasan pinggir bandar dan pedalaman, juga kebanyakan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ini berada di luar bandar.

“Ini adalah satu perkara yang perlu difikirkan dan satu penyelesaian yang tuntas amat dituntut daripada SPR bagi memastikan maklumat dan manifesto yang dibawa calon-calon bertanding sampai kepada rakyat di akar umbi di kawasan pedalaman ini,” katanya.

Sekiranya SOP yang ada terlalu ketat menyebabkan maklumat sukar sampai ke setiap pelusuk negeri, pengundi akan terpinga-pinga dan akhirnya tidak dapat membuat keputusan dengan pertimbangan yang jelas.

Juga dalam mengambil kira semua perkara tersebut, Dick juga menyeru SPR supaya SOP itu diumumkan sesegera mungkin bagi memudahkan perancangan semua pihak terlibat, dari parti yang bertanding hinggalah rakyat.

Tamat