Semua pekebun sawit terutamanya di Sarawak diminta lebih berhati-hati apabila wujud aktiviti manipulasi harga urusan jual beli buah kelapa sawit.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Willie Mongin berkata ini kerana kartel terbabit sudah ada dikesan pihaknya di Bintulu dan Sibu.

“Aktiviti kartel memang wujud di daerah Bintulu dan Sibu dan kita tahu siapa yang behind all these,”

Willie pada masa sama turut itu memberi amaran kepada kartel terbabit yang pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mereka.

Setakat ini beliau tidak mendedahkan jumlah kartel terbabit yang sudah dikesan setakat ini tetapi bilangannya tidak banyak dan kurang dari lima kartel terbabit di sekitar daerah Bintulu dan Sibu.

Selain kartel, Willie juga mendedahkan ada peraih atau peniaga buah itu yang juga cuba mengambil peluang terhadap pekebun kelapa sawit untuk mendapat keuntungan lebih.

Beliau sudah berbincang dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Wilayah Sarawak dan pihaknya tidak akan berkompromi dan teragak-agak menarik lesen mereka sekiranya dikesan mengambil peluang menekan pekebun.

Sementara itu, bagi mengatasi masalah kecurian buah sawit, beliau mengesa ramp-ramp kelapa sawit di Sarawak tidak membeli buah itu dari orang yang tidak boleh membuktikan mereka ada kebun atau ladang sawit.

Katanya setakat ini belum ada ramp di Sarawak yang dikesan membeli buah kelapa sawit curi dan kes kecurian komoditi terbabit juga tidak berleluasa di Sarawak.

“Setakat ini tidak ada kes kecurian sawit yang begitu besar dan banyak kecurian kadang-kadang tidak dilaporkan, tapi kita ada terima di media sosial gambar pencuri sawit dan sebagainya,”tambahnya.

Katanya data MPOB terbaharu merekodkan seramai 37,532 pekebun kecil persendirian berlesen dengan keluasan tanaman sebanyak 132,976 hektar di Sarawak serta keluasan terbesar di Malaysia

Tamat