Bersatu tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sarawak, dan membantu akan membantu Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam pilihan raya negeri berkenaan pada 18 Disember nanti.

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu diputuskan ketika perbincangan bersama Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, yang juga Presiden GPS.

“Kita sudah ada perbincangan dengan Abang Johari beberapa hari sebelum pengumuman PRN Sarawak dibuat.

“Kita bincang di peringkat parti, yang kita tidak akan bertanding di PRN Sarawak. Kita dah buat keputusan. Yang penting  kita nak tentukan parti di Sarawak menang dengan cemerlang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan BERSATU Bahagian Pagoh, di Dewan Serbaguna Lenga, di sini, hari ini.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) semalam mengumumkan akan bertanding di semua 82 kawasan DUN Sarawak pada PRN itu.

PRN Sarawak ditetapkan pada 18 Disember dengan penamaan calon ditetapkan pada 8 Disember manakala pengundian awal 14 Disember.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, langkah BERSATU tidak bertanding di PRN Sarawak itu bagi menghormati pandangan dan permintaan GPS supaya parti itu diberi laluan pada pilihan raya berkenaan.

“Kita hormati pandangan GPS. Apa yang pasti, kita yakin GPS ada kekuatan. Atas dasar itu, ahli kita di sana akan membantu supaya GPS capai kemenangan lebih besar pada PRN Sarawak,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin memberi gambaran parti itu mungkin akan bertanding di Sarawak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

“Cuma pada PRU-15 nanti, GPS ada menyatakan mungkin ada pertimbangan lain. Bermakna parti yang lain akan bersama-sama GPS ketika PRU-15 nanti termasuk PN,” katanya.

Tamat