Tangan kanan dan tangan kiri amat saling melengkapi, itulah antara sesuatu yang boleh digambarkan diantara Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata dalam usaha menyahut seruan agenda perpaduan umat PN dan MN tidak dapat dipisahkan sekiranya benar-benar berkonsepkan perpaduan umat dalam negara masyarakat majmuk yang ikhlas.

“Kedua-dua gagasan ini laksana dua tangan dalam satu jasad, kalau dibuang salah satunya akan menjadi cacat. Bahkan, ia juga laksana sepasang kasut yang tidak waras jika dipakai sebelah kasut sahaja.

“Bukanlah tujuan gagasan ini demi menjaga kepentingan individu atau kelompok tertentu, sama ada untuk mengangkat ataupun menjatuhkannya.

“Kita semua laksana ramainya penumpang yang berada dalam satu bahtera atau mengikut slogan Keluarga Malaysia yang besar sebagaimana diuar-uarkan,” katanya melalui posting di laman Facebook rasmi beliau.

Menurutnya berdasarkan semangat yang telah ditegaskan dalam Piagam Muafakat Nasional yang disertai oleh kalangan Melayu Islam dan bumiputera (penduduk asal), maka mereka wajib disatukan setelah berpecah belah dan berporak-peranda selama ini.

“Muafakat Nasional bukan sahaja disertai oleh PAS dan UMNO, bahkan melibatkan semua pihak jika benar-benar gagasan itu berkonsepkan acuan al-Quran yang pernah mendidik masyarakat Arab sebelum Islam yang berpecah belah

“Disatukan umat Islam yang terkumpul dalam parti-parti Melayu dan bumiputera yang terbesar, daripada UMNO, PAS dan BERSATU, di samping mereka yang tidak berparti dalam badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan lain-lain.

“Namun, kesemuanya tetap hidup bermasyarakat dan berpijak di bumi yang sama dengan menganut Islam ataupun kalangan bumiputera yang dekat dengan penganut Islam,”.

Semua perlu sedar, keperluan yang sebenar ialah membawa layar Islam dan Melayu dalam usaha menolak dakyah-dakyah lain seperti DAP yang meniupkan angin songsang memecahkan kesatuan.

“Pada mulanya, hanya diadakan perjumpaan antara PAS dan UMNO sahaja. Kemudian, diikuti dengan Kongres Maruah Melayu yang lebih besar penyertaannya oleh pelbagai pihak.

“Adapun setelah mengambil alih kerajaan pusat, maka Perikatan Nasional pula diwujudkan kerana mengambil kira masyarakat yang lebih besar termasuklah golongan bukan Islam yang sudah menjadi masyarakat majmuk.

“Hakikat keberadaan masyarakat majmuk dalam negara ini wajib diterima dan tidak boleh dirungkai sekali-kali kerana boleh merosakkan keluarga yang besar ini”.

Menurutnya dalam pada itu, mesti diterima hakikat bahawa Perikatan Nasional (PN) yang menjadi gagasan politik yang lebih besar, perlu berperanan dan berkuasa dalam negara masyarakat majmuk ini.

“Khususnya, bagi menegakkan prinsip Perlembagaan Persekutuan yang telah wujud dan tidak perlu dirungkai lagi, tetapi kandungan perlembagaan mestilah ditafsirkan dengan jiwa yang merdeka daripada sebarang pengaruh penjajahan pemikiran yang perlu dibuang segala kesan-kesan dan pengaruhnya yang masih ada.

“Di samping itu, perlu disingkirkan puak pendukung penjajah yang menjadi makhluk perosak dalam keluarga Malaysia. Oleh itu PAS hanyalah berpegang kepada konsep perpaduan mengikut perspektif Islam, iaitu perpaduan umat Islam dan perpaduan umat manusia yang majmuk termasuklah dalam kalangan bukan Islam.

“PAS menolak Muafakat Nasional (MN) yang terbelenggu dengan hanya melibatkan UMNO dan PAS sahaja. PAS juga menolak fahaman yang menafikan adanya masyarakat majmuk yang wajib ditangani oleh gagasan yang lebih besar iaitu Perikatan Nasional (PN),” katanya.

Menurutnya langkah persembahan yang bermula dengan penubuhan Muafakat Nasional (MN) yang tidak lengkap, maka perlu dilengkapkan dengan penubuhan Perikatan Nasional (PN).

“Oleh yang demikian, secara tegasnya PAS tidak boleh dibelenggu atau diheret oleh sebarang kefahaman yang lain. PAS hanya bergerak dengan konsep Islam yang terang lagi bersuluh.

“PAS boleh bersama-sama membina negara ini dengan acuan Islam, bukannya sekadar menjadi parti anak tangga atau parti yang menumpang sahaja. Bahkan, PAS bukan parti yang menagih simpati seperti peminta sedekah sahaja tanpa mempunyai maruah bersama Islam.

“PAS hanya bersedia menjadi penyelamat negara dengan konsep dan prinsip yang berasaskan kepada perjuangannya bagi menyelamatkan umat keseluruhannya. Bukanlah disebabkan oleh orang tertentu atau kelompok dan puaknya semata-mata,” katanya.

Hal ini menjelaskan mengapa PAS hanya menerima Muafakat Nasional (MN) yang lengkap perjalanannya mengikut perjanjian yang telah dimeteraikan, tanpa bercanggah dengan agenda perpaduan umat yang lebih besar dan berkuasa melalui gagasan politik Perikatan Nasional (PN).

Tamat