Terdapat rungutan berkenaan kenaikan harga ayam dan sayur tap Kementerian Pertanian Dan Industri Makanan (MAFI) sedang bertindak mengatasinya dengan pelan tertentu.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, pelan tindakan itu dirangka dengan kerjasama dua kementerian lain untuk membantu pengeluar dan petani yang terkesan teruk hingga menyebabkan kenaikan harga keperluan berkenaan.

“Punca utama yang dikesan oleh kementerian ini, iaitu tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak awal 2020 dan tempoh yang lama menyebabkan sektor pertanian turut terkesan dari segi pengeluaran termasuk pemberhentian ramai pekerja.

“Selain itu, kenaikan harga sayur dan barang keperluan lain berpunca daripada peningkatan harga racun dan baja di pasaran dunia,” katanya kepada media tadi di Bukit Dinding dekat sini hari ini.

Dr. Nik Muhammad Zawawi dalam rangka lawatan kerja menyaksikan projek permanian beradas dan pengeluaran semen beku untuk ternakan lembu ‘sado’ atau hibrid di Institut Biodiversiti Veterinar Kebangsaan (IBVK) Kampung Bukit Dinding di sini.

Yang hadir sama Ketua Pengarah Perkhidmatan Veteriner, Datuk Dr. Norlizan Mohd Noor, Pengarah Bahagian Genetik Teknologi Penternakan, Dr. Saifullizam Abd. Kadir dan Ahli Dewan Undangan Negeri Damak, Zuridan Mohd. Daud.

Nik Muhammad Zawawi berkata, pihaknya kini sedang berbincang dengan beberapa kementerian lain dalam usaha mencari kaedah menurunkan harga barang terutamanya bahan mentah.

“Kita telahpun berbincang melibatkan sesi libat urus bersama Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDHEP) semalam dan masalah berkenaan akan diatasi dalam masa terdekat,” katanya.

Selanjutnya, beliau menjelaskan, kementerian itu juga akan mengkaji bayaran subsidi kepada pengusaha dan pekebun bagi meringankan usaha pengeluaran khususnya menyediakan racun dan baja antara alternatif memulihkan keadaan.

Mengulas masalah kenaikan harga makanan, Dr. Nik Muhammad Zawawi menjelaskan, negara lain juga mengalami tekanan pengeluaran makanan masing-masing yang melibatkan harga di pasaran berikutan tempoh PKP yang lama dan pemberhentian pekerja.

“Kita di peringkat kementerian akan memperhalusi perkara ini menerusi beberapa pelan tindakan dengan kerjasama dua kementerian berkenaan supaya fenomena kenaikan harga sayur-sayuran dan barang makanan berasaskan pertanian pulih dalam masa terdekat,” katanya.

Sementara itu , dalam usaha merancakkan program bekalan makanan negara, pihaknya kini membangunkan projek bekalan daging negara.

“IBVK Jerantut menyasarkan pengeluaran sebanyak 60,000 straw semen beku berkualiti setahun menjelang 2023 yang digunakan dalam pembiakan ternakan ruminan pedaging dan tenusu negara.

“Dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) kerajaan memperuntukkan sebanyak RM9 juta untuk teknologi penternakan bagi memastikan bekalan semen ternakan berkualiti secara berterusan bagi melonjak industri ini,” katanya.

Menurutnya, semen beku yang dihasilkan secara teknik permanian beradas (AI) dikeluarkan di IBVK di sini dan akan diedarkan secara percuma kepada pengusaha ternakan dan penduduk yang berminat menceburi bidang tersebut.

“Penggunaan semen baka berkenaan telah berjaya menghasilkan lembu hibrid atau lembu ‘sado’ yang mempunyai kadar pengeluaran daging yang lebih tinggi, dan pulangan yang lumayan,” katanya.

Ujarnya, hasrat kerajaan untuk memastikan teknologi penternakan sentiasa berkembang maju khususnya pengeluaran baka ternakan seperti lembu, kambing biri, kerbau dan sebagainya setanding dengan Australia, New Zealand dan beberapa negara lain.

Tamat