KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan diminta memberi penjelasan lanjut berhubung kenyataan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz tentang isu pembayaran royalti petroleum kepada negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, Kerajaan Negeri Kelantan memandang serius jawapan bertulis dikemukakan Tengku Zafrul di Dewan Rakyat yang dilihat tidak selari dengan kenyataan terdahulu Kerajaan Persekutuan.

“Untuk rekod, Majlis Kewangan Negara yang bersidang pada 7 Jun 2018 memutuskan bahawa Kerajaan Persekutuan akan memansuhkan Program Wang Ihsan dan memutuskan bayaran tunai petroleum disalurkan terus kepada kerajaan negeri.

“Bayaran tunai dan hasil pengeluaran Kelantan diperakui Kerajaan Persekutuan dalam Dewan Rakyat pada 30 Oktober 2019 dan 28 Julai 2020 oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam jawapan bertulis di persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini, Tengku Zafrul dilaporkan berkata, Petronas tidak akan membuat bayaran royalti tunai kepada mana-mana negeri di Semenanjung termasuk Kelantan, sebaliknya dibuat dalam bentuk wang ihsan.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, Kerajaan Negeri Kelantan tetap berpendirian bayaran tunai adalah kaedah tepat berdasarkan peruntukan yang jelas dalam Perjanjian 1975 antara Petronas dengan kerajaan negeri.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed ketika mengulas perkembangan itu berkata, isu royalti antara yang dibincangkan dalam pertemuan Kerajaan Negeri Kelantan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob minggu lalu.

Kata beliau, kunjungan hormat terhadap Ismail Sabri diketuai Ahmad sendiri yang diiringi Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah serta Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Nazran Muhammad.

Tiga isu dibangkikan iaitu (royalti) petroleum, air dan pembangunan di Kelantan. Semua perkara itu sedang diselaras dan kita sedang membincangkan di peringkat yang sesuai. Ia sedang dipertimbang,”  katanya tanpa memberi penjelasan lanjut.

Beliau ditemui pemberita selepas mendengar taklimat berkaitan masalah miskin tegar selain membuat lawatan dan menyantuni sendiri golongan itu di sekitar Kampung Kelong di Tumpat, hari ini. – UTUSAN ONLINE