Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua, itulah yang dapat diperkatakan apabila kegiatan sekumpulan kongsi gelap yang berlindung dibawah nama NGO terbongkar apabila sedang merekrut ahli baru dalam sebuah majlis di Seberang Jaya.

Pembongkaran itu selepas pihak polis menyerbu sebuah restoran mewah kelmarin.

Hasil siasatan, pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang bersama Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Seberang Perai Tengah membuat serbuan tepat 9.30 malam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, serbuan dilakukan selepas pihaknya mengesyaki satu kumpulan kongsi gelap yang berselindung di sebalik sebuah NGO sedang menghidupkan kembali pengaruh mereka di utara tanah air termasuk Kedah dan Perlis.

Jelas beliau, kumpulan itu dikatakan menggunakan nama NGO bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Dalam serbuan itu, kita menahan 40 lelaki berusia lingkungan 22 hingga 56 tahun yang berasal dari negeri ini, Kedah serta Perlis.

“Ketika serbuan dilakukan, mereka (suspek) sedang mengadakan majlis sesi pengenalan dan pendaftaran ahli baharu.

“Selain itu, hasil pemeriksaan juga mendapati lapan daripada lelaki yang ditahan mempunyai tatu kongsi gelap,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Turut dirampas dalam serbuan itu, 56 buah telefon bimbit; dua bentuk cincin; seutas rantai serta sepasang subang yang mempunyai lambang kongsi gelap.

Mengulas lanjut Rahimi berkata, kesemua suspek kini direman untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 ( Kesalahan menganggotai pertubuhan yang menyalahi Undang-Undang ) dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum dengan penjara tidak lebih daripada tiga tahun atau denda tidak lebih daripada RM5,000 atau kedua-duanya.