Pelajar tahfiz kini bakal diperkenalkan pendedahan kemahiran melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) seiring dengan keperluan teknologi dan keusahawanan kini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Ustaz Idris Ahmad, berkata tindakan itu adalah bagi membolehkan mereka mampu menjana pendapatan sendiri.

“Ini juga bertujuan supaya insitusi berkenaan tidak terlalu bergantung kepada sumbangan dan bantuan kerajaan serta masyarakat dalam memastikan institusi tahfiz dapat terus beroperasi,” katanya.

Idris berkata, baki RM40 juta daripada RM100 juta yang diperuntukkan kerajaan tahun lalu bagi tujuan selenggara dan naik taraf institusi pendidikan Islam di bawah penyelarasan Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajar dan Pendidikan Agama Islam (Lepai), telah diterima pada 4 Oktober lalu.

Katanya, pihaknya sedang menguruskan peruntukan berkenaan untuk diagihkan kepada institusi pendidikan Islam secepat mungkin.

Sehingga Ogos lalu, sebanyak RM60 juta disalurkan kepada 1,066 institusi pendidikan Islam di seluruh negara, termasuk sekolah agama, institusi tahfiz dan pondok bagi tujuan penambahbaikan dan naik taraf.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM22.3 juta disalurkan kepada 413 institusi tahfiz berdaftar, manakala RM40 juta lagi akan diagihkan kepada institusi pendidikan Islam.

Tamat