Kerajaan sedang merancang untuk membangunkan lebih banyak loji efluen industri berpusat di kawasan perindustrian, di sebagai langkah mengawal sisa buangan kilang.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) setiap lokasi yang diwartakan sebagai kawasan perindustrian akan dibangunkan dengan sistem pembuangan berpusat yang mengawal sisa pembuangan kilang.

“Sistem itu akan mengawal punca (sisa) sebelum turun ke sungai. Dengan cara ini, ia boleh elak sungai daripada tercemar oleh pembuangan sisa kilang,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Denai Sungai Langat di sini, hari ini.

Katanya pembangunan denai di sepanjang sungai pula berpotensi mengelak pencerobohan dan pencemaran terutama pembuangan sisa oleh lori.

Tuan Ibrahim berkata, projek Denai Sungai Langat adalah titik permulaan program DSK, yang akan menyaksikan kawasan rizab sungai dibangunkan sebagai kawasan rekreasi bagi merangsang aktiviti ekonomi berasaskan alam sekitar seperti ekopelancongan sungai.

Beliau berkata, Denai Sungai Langat sejauh empat kilometer ketika ini berpotensi untuk ditambah jaraknya sehingga menjadi 50 kilometer, memasuki kawasan Putrajaya.

Katanya, Kementerian Alam Sekitar dan Air mensasarkan pembinaan DSK sepanjang 10,000 kilometer menjelang 2030.

Tamat