Tahniah buat pasukan Kuala Lumpur City, setelah menumbangkan gergasi besar JDT, 2-0 susulan peristiwa bersejarah itu, Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim mengumumkan Jumaat, 3 Disember sebagai cuti khas peristiwa.

“Kemenangan semalam adalah pencapaian terbaik buat KL City FC setelah 32 tahun penantian untuk menjuarai Piala Malaysia, yang mana kali terakhir kemenangan adalah pada 1989.

“Justeru adalah dimaklumkan bahawa kerajaan telah bersetuju supaya hari Jumaat 3 Disember 2021, diisytiharkan sebagai hari kelepasan am tambahan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sempena kejuaraan pasukan KL City FC.

Pengisytiharan hari kelepasan am tambahan ini dibuat selaras dengan subseksyen 9(2) Akta Hari Kelepasan Am 1951 bagi Wilayah Persekutuan,” katanya.

Habuan diumumkan nanti

Semalam, KL City FC berjaya menundukkan JDT dalam perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Bukit Jalil dengan 2 gol berbalas kosong, sekali gus menamatkan kemarau panjang skuad bola sepak ibu kota itu.

Kemenangan itu juga menyaksikan KL City FC bimbingan Bojan Hodak berjaya mengekalkan rekod tanpa kalahnya sepanjang kempen Piala Malaysia edisi ini.

Terdahulu Shahidan meluahkan kekecewaannya di Facebook kerana tidak dijemput turun ke padang ketika meraikan kejayaan pasukan itu.

Namun dia tetap menjanjikan “hadiah” buat para pemain “tidak lama lagi”.

Disoal pemberita mengenai habuan buat pemain, kata Shahidan, perkara itu akan dimaklumkan kemudian.

“Sampai masanya, saya akan maklumkan,” katanya lagi.

Tamat