Pas Pahang tetap dengan pendirian terus memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN) dan mempertahankan Perikatan Nasional (PN).

Pesuruhjaya Pas negeri, Rosli Abdul Jabar berkata, perkara tersebut untuk mengekalkan objektif penyatuan ummah antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) agar tidak berlakunya pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Lumpur, setakat ini MN di negeri ini masih berada dalam keadaan yang harmoni dan kerana itu juga Pas Pusat masih kekal dengan kerangka agenda tersebut.

“Merujuk kenyataan Pengerusi PN Pahang, Datuk Saifuddin Abdullah bahawa akan bertanding di semua 14 kerusi Parlimen Pahang pada PRU-15, Pas Pahang memahami bahawa kenyataan tersebut adalah mengambil kira jika gabungan dan rundingan bersama UMNO gagal.

“Usaha Pas untuk penyatuan ummah dan mencapai objektif PRU-15 terus berjalan sehingga kini, malah tiada sebarang keputusan rasmi yang dikeluarkan bahawa Pas telah memutuskan hubungan sama ada dengan MN atau PN,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Rosli berkata, sehingga kini juga masih tiada keputusan rasmi berkaitan pembahagian kerusi pilihan raya bagi kedua-dua belah pihak di negeri ini.

Katanya, Pas Pahang akan terus bersabar membawa agenda penyatuan dengan tiga prinsip yang telah dijelaskan dalam Muktamar Pas Ke-67 oleh Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

“Dengan itu, Pas Pahang tetap berpendirian dan sebarang keputusan daripada kami adalah merupakan keputusan daripada Pas Pusat. Pas Pahang berharap agar agenda penyatuan ummah ini berjaya dan membawa kesejahteraan kepada seluruh rakyat Pahang sama ada dalam bidang ekonomi, kelestarian, jati diri dan lain-lain,” katanya.

Sementara itu, katanya lagi, secara rasminya Pas Pahang masih bersama UMNO dalam MN dan akan terus memelihara hubungan baik tersebut. 

“Sehubungan itu, kita bersedia dan telah mempersiapkan jentera pilihan raya bagi menghadapi PRU-15 jika diumumkan dalam masa terdekat,” katanya. – UTUSAN