Konsep keterbukaan turun padang untuk membantu perlu diamalkan kepada semua ketua dan warga agensi hal ehwal Islam kini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Ustaz Idris Ahmad mengingatkan ini kerana golongan berkenaan tidak seharusnya datang ke mana-mana pejabat untuk meminta bantuan.

“Saya tidak mahu orang miskin datang berjumpa kita, sebaliknya kita yang perlu cari mereka.

“Kita patut berasa berdosa apabila ada kes sebegini kerana individu itu amat susah pergi ke pejabat bagi memohon pertolongan dan kita pula bebankan mereka dengan birokrasi.

“Orang miskin ini mereka kais pagi makan pagi, mereka memerlukan wang untuk (mengisi) petrol dan tambang untuk berjumpa dengan kita, jadi kita yang mesti pergi cari dia, santuni dia.

“Segala maklumat kita boleh dapat melalui e-Kasih, penghulu, masjid atau Baitulmal semuanya ada. Kalau tidak berdosa,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu pihaknya kini sedang menyediakan program bersifat membantu usahawan baru daripada golongan asnaf.

“Dalam tempoh 100 hari pentadbiran, sehingga 9 Disember ini, ada sebanyak 208 program yang bersifat ‘programme oriented’.

“Antara contoh terbaik ialah program Musa’adah Tijariyah oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sudah berjaya membantu 1,000 usahawan berbanding sasaran 700 orang.

“Bukan setakat itu, dalam tempoh berkenaan juga kita telah meletakkan KPI untuk membantu seramai 700 usahawan dalam kalangan asnaf.

“Namun jumlah sebenar permohonan adalah 1,000 orang usahawan dengan pemberian modal perniagaan sebanyak RM3,000 menerusi program Musa’adah Tijariyah oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dengan melibatkan peruntukan sebanyak RM3 juta,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau berharap GLC dapat bekerjasama terutama tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang berbentuk pendidikan untuk anak-anak dari keluarga berpendapatan B40.

Antaranya, kata beliau seperti menaja pemasangan peranti jalur lebar atau wifi di masjid atau surau untuk memudahkan kanak-kanak mengikuti pembelajaran atas talian tanpa masalah besar.

“Langkah ini juga akan tarik mereka menunaikan solat fardu secara berjemaah, seumpama dua dalam satu, sekali gus mendekatkan kanak-kanak dan remaja kepada rumah Allah,” jelasnya.

Beliau yang pernah bertugas sebagai pensyarah universiti awam berkata, isu pendidikan amat penting kerana ia kunci utama bagi membasmi kemiskinan dan meningkatkan taraf hidup keluarga.

Tamat