Selepas kira-kira dua tahun `turun naik mahkamah’, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan mengetahui nasibnya pada 24 Januari tahun depan sama ada beliau diperintah membela diri atau dibebaskan daripada tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Tarikh itu ditetapkan selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini selesai mendengar penghujahan pihak pendakwaan dan pembelaan yang berlangsung selama 24 hari bermula 6 September lalu.

Perbicaraan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri didengar di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bermula pada 18 November 2019. Seramai 99 saksi pendakwaan memberi keterangan sebelum kes ditutup pada 19 Mac lalu.

Ahmad Zahid, 68, dibicarakan terhadap 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Presiden UMNO itu didakwa menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia.

Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd.

Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018. – UTUSAN ONLINE