Mana-mana ahli yang bertanding tanpa kebenaran parti  berdepan tindakan disiplin termasuk boleh terhenti keahlian serta-merta.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, perkara tersebut sedia termaktub dalam perlembagaan parti.

“Perlembagaan Bersatu menyatakan bahawa mana-mana ahli yang bertanding tanpa kebenaran parti akan berhadapan dengan tindakan disiplin yang tegas, termasuk boleh terhenti keahlian serta merta.

“Peraturan yang sama terpakai di Sarawak dan parti akan membuat pengumuman yang sewajarnya berkaitan perkara ini,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.

Beliau  mengulas keputusan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sarawak, Datuk Ali Biju yang membuat kejutan apabila tampil bertanding sebagai calon Bebas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli berdepan saingan empat penjuru daripada calon GPS, Friday Belik; calon Parti Sarawak Bersatu (PSB), Musa Dinggat dan calon Parti Bumi Kenyalang, Danny Kuan. – UTUSAN ONLINE