LAWAS: Perebutan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ba’kelalan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 menyaksikan penyandang, Baru Bian daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) berdepan pertandingan lima penjuru.

Beliau akan ditentang calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Sam Laya, Peter Asut daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK), Martin Samuel Labo (PKR) dan calon Bebas, Agnes Padan.

Senarai muktamad calon yang layak bertanding diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Ba’kelalan Joseph Ganang Surang di pusat penamaan calon di bangunan lama Pejabat Daerah Lawas di sini.

PRN kali ini menyaksikan Baru, yang juga Ahli Majlis Presiden PSB, berhasrat mempertahan kerusi Ba’kelalan yang dimenanginya pada 2011 dan 2016 atas tiket PKR.

Pada PRN 2016, Baru menewaskan calon Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), yang kini dijenamakan semula sebagai Parti Demokratik Progresif (PDP), dengan majoriti tipis 486 undi.

Berdasarkan data Suruhanjaya Pilihan Raya, DUN Ba’kelalan secara keseluruhan mempunyai seramai 8,503 pemilih berdaftar.

Sumber – BERNAMA