Konsep e-commerce dilihat cara paling sesuai turunkan harga barangan di pasaran dengan menghapuskan monopoli orang tengah.

Menteri Pertanian Dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata biarpun sektor pengeluaran dalam industri pertanian mengalami peningkatan sehingga 30 peratus, pembabitan orang tengah mengakibatkan harga di pasaran terlalu tinggi.

Oleh itu MAFI menggalakkan setiap pertumbuhan platform ‘e-commerce’ yang bukan sahaja memperkenalkan konsep ‘biz to biz’ malah ‘biz to customer’ yang boleh memberi manfaat secara terus kepada pengguna tanpa pembabitan orang tengah.

“Ini antara langkah yang akan dipergiatkan MAFI untuk mengurangkan kenaikan harga dalam pasaran.

“Kami juga meminta setiap petani atau penternak untuk bersedia dengan pemasaran sebegini, yang dilihat amat berpotensi untuk membantu industri pertanian negara.

“Bukan sesuatu yang mudah untuk kementerian lakukan (hapuskan) pembabitan orang tengah ini tetapi kita mempunyai pelbagai inisiatif khususnya pemasaran secara ‘e-commerce’ yang kini dipergiatkan oleh MAFI,” katanya.

Menurut Ronald peningkatan harga sumber pertanian dan penternakan di pasaran disebabkan manipulasi rantaian pemasaran oleh orang tengah.

Situasi itu mengakibatkan pengguna menerima kesan apabila harga yang sampai kepada mereka meningkat melebihi 100 peratus.

“Sememangnya antara cabaran dalam industri pertanian dan penternakan hari ini antara lain adalah disebabkan pembabitan orang tengah yang memainkan peranan dalam semua subsektor.

“Kita lihat ada peningkatan harga 20 ke 30 peratus dalam sektor pengeluaran tetapi harga di pasaran meningkat melebihi 100 peratus. Ini bermakna terdapat unsur rantaian pemasaran dimanipulasi oleh pihak tertentu,” katanya

Mengulas perkara itu, Ronald menjelaskan menangani isu orang tengah bukan sesuatu perkara yang mudah kerana ia dibangkitkan sejak sekian lama.

“Ia sudah lama terjadi malah dalam pengajian pentadbiran perniagaan, isu orang tengah ini dibangkitkan dalam setiap pemasaran, kewujudannya mereka tidak boleh dinafikan,” katanya.

Tamat