Permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pagi ini akan dijalankan secara hidbrid.

Ini kerana salah seorang peguam yang mewakili Ahli Parlimen Pekan itu positif Covid-19 selepas menghadiri majlis sambutan bersama keluarga dan rakan, Sabtu lalu.

Lewat malam semalam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memohon agar prosiding hari ini dan keputusan rayuan Najib yang dijadualkan esok ditangguhkan.

Namun, di Mahkamah Rayuan hari ini, pegawai mahkamah memaklumkan media bahawa prosiding akan berjalan dengan panel tiga hakim diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil bersama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera akan mendengar permohonan di dewan mahkamah bersama-sama pihak pendakwaan.

Barisan peguam akan menyertai prosiding melalui aplikasi Zoom di kediaman masing-masing.

Media akan mengikuti prosiding tersebut di salah sebuah bilik persidangan mahkamah secara siaran langsung.

Menurut surat yang dihantar ke mahkamah malam tadi, Muhammad Shafee menjelaskan barisan peguam Najib sedang menyiapkan pemfaikan hujahan bertulis bagi prosiding hari ini, namun sekitar pukul 6 petang, salah seorang peguam terlibat menerima panggilan daripada ibunya yang menyatakan dia (ibunya) didapati positif COVID-19.

Muhammad Shafee berkata, beliau, Muhammad Farhan bersama isteri dan anak lelakinya menghadiri sambutan dan perjumpaan bersama keluarga dan rakan terdekat yang turut dihadiri peguam terbabit dan ibunya, Sabtu lalu.

Selepas dimaklumkan mengenai perkara itu, kesemua peguam yang berada di firma guaman Tetuan Shafee & Co telah membuat ujian kendiri yang mana Muhammad Farhan didapati positif melalui tiga test kit berbeza manakala peguam lain menunjukkan keputusan negatif.

“Tambahan pula, anak guam kami (Najib) hadir di pejabat bagi tujuan semakan dan mengikrarkan afidavit yang difaikan semalam.

“Oleh itu, semua status aplikasi MySejahtera milik semua yang terbabit berubah kepada sama ada kontak rapat atau kontak kasual dan masing-masing sedang menunggu masa yang sesuai untuk menjalankan ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR),” katanya.

Muhammad Shafee berkata, pihaknya tidak menjangkakan perkara itu akan berlaku, namun mereka mempunyai tanggungjawab untuk memastikan keselematan semua yang terbabit dalam prosiding rayuan berkenaan.

Sementara itu, sehingga pukul 9.20 pagi ini, kelibat Najib juga tidak kelihatan di Mahkamah Rayuan. – UTUSAN ONLINE