Isu agihan kerusi ‘sama rata, sama rasa’ menjadi punca parti-parti pembangkang Sarawak gagal mencapai kata sepakat untuk bekerjasama menghadapi Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB), Datuk Seri Wong Soon Koh berkata, ia tercetus apabila Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri, Chong Chien Jen mahu menggunakan formula ‘3-3-1-3’.

Nisbah agihan antara DAP, PKR dan PSB itu memperuntukkan masing-masing mendapat 30 peratus kerusi manakala Parti Amanah Negara (Amanah) pula bertanding 10 peratus kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus menimbulkan rasa tidak puas hati PSB.

“Kami berunding beberapa kali dan setiap kali rundingan, DAP tiba-tiba bercakap kepada media soal formula, sedangkan kami tidak pernah pun bercakap hal ini.

“Tidak cukup dengan itu, mereka cuba gambarkan hal buruk terhadap kami bahawa penyokong dan penaja kami sama dengan GPS, pelompat parti, tidak boleh bergantung dengan ahli-ahli PSB.

“DAP tidak berlaku jujur, jika mereka mahu berunding secara senyap, berhikmah dan mencapai konsensus, kita boleh lakukan. Tetapi setiap masa mereka menyerang kami. Jadi, sebab itu kami berasa tidak boleh pergi jauh lagi,” katanya dihubungi di sini semalam.

Ahad lalu, Utusan Malaysia memetik Chien Jen sebagai mendakwa, PSB mahu `cepat menjadi kerajaan’ sehingga menyebabkan hala tuju pembangkang untuk menewaskan GPS tidak tercapai selain melabelkan PSB sebagai `tunas susur atau offshoot’ kepada GPS.

PSB meletakkan 70 calon bertanding dalam pilihan raya negeri 18 Disember ini dengan Soon Koh sendiri akan mempertahankan DUN Bawang Assan yang disandangnya selama enam penggal sejak 1991.

Mengulas lanjut, Soon Koh menafikan dakwaan DAP bahawa partinya cenderung memihak kepada GPS, sebaliknya PSB mahu bertanding secara bebas dan menyediakan pilihan alternatif kepada pengundi untuk menjadi kerajaan baharu.

“Kami tidak boleh bekerjasama dengan DAP. Parti ini berpusat di Semenanjung sedangkan PSB adalah parti tempatan, berbilang kaum, bebas dan milik rakyat Sarawak. Saya cuba supaya mereka ambil kira soal ini, tapi beliau (Chien Jen) enggan percaya.

“Oleh kerana kami parti baharu, mereka fikir kami lemah, tidak mempunyai calon-calon meyakinkan dan DAP bertegas mahu bertanding di kebanyakan kerusi.

“Bagaimana mungkin kami menjadi kerajaan alternatif jika bertanding dengan kerusi yang sedikit?,” soalnya. – UTUSAN ONLINE