Pihak Mahkamah Rayuan mendapati dakwaan resit derma daripada keluarga diraja Arab Saudi adalah bukti yang tidak dapat dipertahankan dalam perbicaraan penyelewengan RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd.

Melalui penghakiman yang dibaca hari ini, panel hakim berkata ini kerana bukti menunjukkan RM42 juta berasal daripada SRC International dan berakhir di akaun bank peribadi bekas perdana menteri itu.

“Keduanya, dakwaan derma Arab yang masuk dan keluar dari akaun perayu sekitar 2013 adalah sebelum RM42 juta dari SRC ke akaun bank perayu.

“Yang ketiga, dakwaan kemasukan (tranche) kedua daripada derma Arab pada 2014 berjumlah kira-kira RM49 juta sahaja, termasuk RM5 juta yang tiada kaitan dengan dakwaan derma Arab, yang telah habis digunakan kecuali kira-kira RM6 juta, adalah sebelum kemasukan RM42 juta ke dalam akaun perayu dari SRC.

“Bukti menunjukkan yang sejak akhir 2014 hingga awal 2015, kira-kira RM136 juta telah digunakan oleh perayu walau dia percaya hanya RM49 juta yang masuk, menurut (apa yang didakwa sebagai) surat Arab keempat.

“Maka, kami setuju dengan hujah pendakwa yang bijaksana yang keadaan berhubung surat Arab keempat jelas menunjukkan yang ia adalah palsu dan perayu tidak sejujurnya percaya yang RM49 juta datang daripada keluarga diraja Arab,” kata para hakim.

Dakwaan derma daripada keluarga diraja Arab Saudi itu merupakan penjelasan utama Najib terhadap jumlah wang di akaunnya antara 2011 dan 2015.

Ketika perbicaraan, pihak pendakwaan berhujah yang Najib menerima RM42 juta daripada tiga syarikat – Gandingan Menteri Sdn Bhd, Ihsan Perdana Sdn Bhd, and Putra Perdana Construction Snd Bhd – yang mendapat wang daripada SRC International.

SRC International ditubuhkan pada 2011 dan sepatutnya terlibat dalam pelaburan berkaitan kepentingan strategik, seperti tenaga dan sumber asli.

Pada masa itu, Najib juga bertindak sebagai penasihat emeritus menerusi kedudukannya sebagai perdana menteri. SRC International kemudian meyakinkan mesyuarat Kabinet, yang dipengerusikan Najib, untuk menjamin pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (Kwap).

Dan sehingga kini, SRC International tidak menunjukkan sebarang pulangan.

Panel hakim Mahkamah Rayuan juga menyangkal hujah pembelaan Najib yang dia tidak tahu RM42 juta tersebut adalah milik SRC International dan dia telah ditipu oleh Jho Low dan beberapa pihak lain.

“Namun, seperti yang disentuh oleh hakim perbicaraan yang bijaksana, bukti menunjukkan perayu ada pengetahuan yang memadai berkenaan status akaun banknya pada masa itu, atau daripada pengetahuan dan niat tidak jujur yang boleh disimpulkan, seperti yang disebut tadi, jelas menindakkan hujah ini,” kata mereka.

Hakim berkata hakim Mahkamah Tinggi mohd Nazlan Mohd Ghazali telah mengendalikan perbicaraan dengan wajar, dalam membuat pertimbangan terhadap bukti tersebut.

“Selepas berbuat demikian, hakim perbicaraan yang bijaksana mendapati, dan bagi kami dengan agak tepat, yang tiga pertuduhan pecah amanah jenayah telah dibuktikan tanpa keraguan munasabah.

“Maka, kami tidak mendapati ada sebarang kesilapan yang boleh dirayu berkaitan hakim perbicaraan yang bijaksana yang memerlukan campur tangan (intervention) mahkamah rayuan,” kata mereka lagi.

Panel hakim adalah Abdul Karim Abdul Jalil, Has Zanah Mehat, and Vazeer Alam Mydin Meera.

Tamat