Akibat lalok dadah, seorang remaja terpaksa menahan kesakitan apabila dirempuh sebuah kereta yang pemandunya posisif Methamphetamine di Kampung Pak Badol, semalam.

Lebih malang remaja berkenaan berusia 19 tahun itu terpelanting dan melambung ke atas bumbung sebuah bengkel membaiki kenderaan.

Melalui kejadian berkenaan sekitar jam 11 pagi itu, mangsa terselamat namun mengalami kecederaan serius patah paha dan tangan kiri.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin, berkata kereta terbabit dipercayai terbabas ketika memotong kenderaan lain lalu merempuh mangsa yang menunggang motosikal di laluan bertentangan.

“Mangsa melambung sejauh kira-kira lima meter dan jatuh di atas bumbung bengkel berkenaan. Mangsa yang bekerja sebagai pembantu kedai makan dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

“Ujian air kencing ke atas pemandu kereta itu mendapati dia positif Methamphetamine serta mempunyai tujuh rekod jenayah berkaitan dadah,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, polis juga menemui dadah jenis heroin seberat tiga gram dan 102 biji pil kuda dianggarkan bernilai RM3,000 dalam kereta yang dipandu lelaki berusia 36 tahun itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 selain Seksyen 39a(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tamat