Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang disabit dengan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd (SRC).

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil bersama-sama Hakim Datuk Has Zanah Mehat dan Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera memutuskan untuk menolak rayuan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Pekan itu ke atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lepas.

Panel hakim Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa hakim perbicaraaan Mahkamah Tinggi adalah betul apabila mendapati bahawa tiga pertuduhan pecah amanah terhadap Najib telah dibuktikan tanpa keraguan munasabah.

Dalam prosiding hari ini, panel Hakim Mahkamah Rayuan memutuskan Hakim Mahkamah Tinggi tidak melakukan salah dalam mengarahkan Najib membela diri.

Panel hakim juga bersetuju dengan keputusan hakim perbicaraan bahawa Najib Razak selaku perdana menteri ketika itu mempunyai kepentingan peribadi dalam Kabinet apabila meluluskan jaminan kerajaan sebanyak RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) kepada SRC.

Hakim Mahkamah Rayuan Abdul Karim Abdul Jalil memutuskan bahawa Najib mempunyai kuasa penuh ke atas SRC International serta pengetahuan mengenai kemasukan RM42 juta ke akaunnya di antara tahun 2014 dan 2015.

Beliau turut memutuskan bahawa RM42 juta aliran wang keluar dari SRC dan ke beberapa syarikat dilakukan bagi menyukarkan pengesanan dan mengelak dikesan pihak berkuasa.

Mahkamah juga bersetuju dengan hakim perbicaraan bahawa terdapat penyelewengan jelas sebanyak RM42 juta oleh Najib untuk kegunaannya sendiri.

Abdul Karim berkata dakwaan pembelaan kewujudan derma dari Arab yang masuk ke akaun Najib adalah tidak boleh dipertahankan.

Beliau menambah tidak ada sebab untuk wang itu terlebih dahulu dideposit ke akaun SRC yang merupakan entiti milik penuh Kementerian Kewangan jika ia sememangnya derma dari Arab.

Prosiding hari ini dilaksanakan melalui aplikasi zoom yang menyaksikan hakim dan pasukan pendakwaan berada di Mahkamah Rayuan manakala Najib dan pasukan peguamnya berada di lokasi lain berikutan pendedahan bahawa bekas perdana menteri itu serta peguam bela menjadi kontak rapat dengan individu positif COVID-19.