Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sekali lagi mengulangi lafaz sumpah laknat sebagai menyatakan beliau tidak bersalah di atas tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana SRC International Sdn Bhd (SRC).

Sehubungan itu, bekas Perdana Menteri keenam negara itu menyatakan rasa kecewa di atas keputusan Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta terhadapnya.

Dalam masa sama, Najib telah mengarahkan pasukan peguamnya untuk mengemukakan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

Najib menegaskan, persoalan pokok isunya itu ialah mengenai dana bernilai RM42 jua milik SRC yang dipindahkan ke akaun peribadinya.

“Sebagai seorang yang beragama Islam saya nak menyatakan Wallahi Wabilahi Wattawallahi… bahawa saya tidak tahu, saya tidak minta, saya tidak pernah mengarahkan sesiapa untuk memindahkan RM42 juta itu ke akaun peribadi saya,” lafaz Ahli Parlimen Pekan itu dalam sidang media secara dalam talian pada Rabu.

Sidang media Najib turut disertai peguam beliau, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah di lokasi berasingan diadakan sejurus selepas tiga hakim Mahkamah Rayuan membuat keputusan mengekalkan sabitan bersalah ke atas Najib seperti yang dibuat Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini.

Pada 28 Julai 2020, Najib melafazkan sumpah laknat dihadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali ketika diberi peluang bercakap selepas penghujahan mitigasi pendakwaan dan pembelaan.

Dalam ucapannya, Najib antara lain menegaskan bahawa dia tidak mengetahui mengenai wang milik SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta itu.

Terdahulu, Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi terhadapnya yang disabit dengan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil bersama-sama Hakim Datuk Has Zanah Mehat dan Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera memutuskan untuk menolak rayuan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Pekan itu ke atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lepas.

Dalam sidang media itu, Najib turut menyatakan kekecewaannya terhadap ulasan hakim bahawa apa yang berlaku telah mengaibkan negara.

“Saya sangat kecewa dengan itu (ulasan hakim),” ujar Najib.

Najib turut mengambil kesempatan memaklumkan, sepanjang menjadi Perdana Menteri, sudah banyak kejayaan yang dilakukannya untuk Malaysia termasuk menyediakan aset negara berjumlah RM2 trilion.

“Jika anda bercakap mengenai aib negara, ada isu skandal lain seperti forex (tukaran mata wang asing) yang menyebabkan negara kerugian RM31 bilion. Bukankah itu jauh lebih besar,” tegas Najib lagi.

– AWANI