Melalui bantuan teknologi terkini bagi meningkatkan kesiap-siagaan penduduk Jabatan Pengairan Dan Saliran Terengganu (JPS) memasang sebanyak 21 stesen siren bagi menghadapi banjir tahun ini.

Timbalan Pengarah Pembangunan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, Osman Abdullah berkata, sebanyak enam stesen siren amaran awal banjir tersebut dipasang di Setiu; lima stesen di Hulu Terengganu; empat stesen di Kemaman; tiga stesen di Besut; dan masing-masing satu stesen di Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Marang.

Menurutnya, stesen siren amaran awal banjir ini diletakkan di kawasan sungai yang berdekatan dengan perumahan. Ia mempunyai dua keadaan bunyi iaitu bunyi pertama adalah amaran apabila paras air sungai telah melimpahi kawasan tebing, manakala bunyi kedua menggambarkan keadaan bahaya dan meminta penduduk bersedia dipindahkan.

“Kedua-dua bunyi itu dapat didengari dalam radius sekitar satu kilometer dari lokasi pemasangan stesen siren amaran awal banjir tersebut,” katanya kepada pemberita selepas taklimat mengenai persiapan JPS Terengganu dalam menghadapi banjir Monsun Timur Laut 2021/2022 di Kampung Pengkalan Ajal di sini pada Rabu.

Menurutnya, penambahan stesen siren amaran awal banjir tersebut akan ditambah dari masa ke semasa bagi memastikan penduduk terutama di kawasan sungai, sentiasa bersedia menghadapi peningkatan mendadak paras air banjir.

Program persiapan menghadapi banjir pada tahun ini dipertingkatkan lagi dengan penambahan 34 stesen ramalan dan amaran banjir di bawah Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) Fasa Satu di lembangan Sungai Terengganu merangkumi Sungai Telemong, Sungai Berangan dan Sungai Nerus.

“Di samping itu, projek PRAB Fasa Dua dengan 66 stesen di seluruh Terengganu sedang dilaksanakan dan dijangka siap pada November 2022. Dengan terlaksananya kedua-dua PRAB Fasa Satu dan Fasa Dua ditambah dengan stesen sedia ada, Terengganu akan mempunyai 159 stesen pemantauan banjir.

“Objektif PRAB adalah meramalkan kejadian banjir tujuh hari lebih awal dan meningkatkan keupayaan amaran dan hebahan dua hari lebih awal kepada agensi seperti Nadma (Agensi Pengurusan Bencana Negara) dan APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia),” katanya.

Tamat