Mantan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui beliau kecewa dengan keputusan Mahkamah Rayuan pagi tadi.

“Saya ingin menyatakan bahawa saya amat kecewa dengan penghakiman yang disampaikan oleh Mahkamah Rayuan pagi ini, saya telah meminta peguam saya memfailkan rayuan,” katanya.

Menurutnya beliau tidak akan mengalah dan memaklumkan beliau telah mengarahkan pasukan penguambelanya memfailkan rayuan kes ke Mahkamah Persekutuan dengan segera.

“Isu utama mengenai SRC International Sdn Bhd ialah mengenai RM42 juta yang telah dipindahkan ke akaun peribadi saya.

“Saya ingin mengulangi bahawa saya tidak tahu dan saya tidak meminta ia dipindahkan ke akaun peribadi saya,” katanya pada sidang akhbar yang dijalankan secara dalam talian pada tadi.

Mahkamah Rayuan pada Rabu mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Najib yang dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International.

Dalam pada itu, ditanya sama ada beliau boleh bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang berikutan keputusan Mahkamah Rayuan, Najib sebaliknya berkata semua pihak tidak mengetahui bila pilihan raya diadakan.

“Ada pertimbangan politik dan peribadi perlu dibuat. Saya akan memutuskannya apabila tiba masanya,” jelasnya.

Tamat