PRN kali ini dapat menyaksikan siapa bakal pemimpin yang dapat mengikut peraturan dan etika sebenar. Ini kerana sebelum ini agak sukar untuk rakyat menilai disiplin mereka.

Mungkin ini pengajaran kepada seorang calon seorang calon Bebas bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 (PRN-12 Sarawak) apabila dikompaun RM4,000 atas kesalahan wakil atau penyokongnya hadir di pusat penamaan calon dan tiada penjarakan fizikal.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail, berkata setakat kelmarin dan semalam, hanya satu kompaun berkenaan dikeluarkan pihaknya.

“Bagi tempoh dua hari, kami mengeluarkan satu kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) pilihan raya iaitu kawalan kehadiran yang tidak membenarkan wakil atau penyokong parti hadir di pusat penamaan calon serta atas kesalahan tiada penjarakan fizikal.

“Kadar kompaun yang diperuntukkan bagi kesalahan ini adalah RM4,000 mengikut Peraturan 10 Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988).

“Dalam tempoh sama juga, kami membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan sesi demonstrasi Unit Tindakan Rusuhan Awam (PORU) dan Unit Water Cannon di Ibu Pejabat Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak di Batu Kawa, di sini, hari ini.

Aidi berkata, pihaknya menerima 103 permohonan permit daripada parti yang bertanding di seluruh negeri bagi tempoh dua hari berkenaan.

“Dari segi kekuatan keanggotaan pula, seramai 5,522 pegawai dan anggota polis bertugas pada hari penamaan calon, manakala bagi hari mengundi pula membabitkan 7,434 pegawai dan anggota.

“Kami juga ada mendapatkan bantuan keanggotaan dari luar kontinjen Sarawak, membabitkan seramai 333 pegawai kanan dan pegawai rendah polis dari Sabah, Bukit Aman serta beberapa kontinjen dari Semenanjung,” katanya.

Tamat