Kehebatan PDRM dalam menentang sindiket dadah tidak dapat disangkal lagi, apabila berjaya menumpaskan dua sindiket pengedaran serta penyeludupan dadah selepas menahan 13 individu termasuk seorang wanita dan merampas syabu seberat 285.47 kilogram (kg) bernilai RM10.27 juta di sekitar ibu negara, pada 29 dan 30 November lalu.

Sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur menahan suspek berusia antara 21 hingga 53 tahun.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain, berkata pihaknya turut merampas tiga kereta, tujuh barang kemas dan satu jam tangan dengan nilai keseluruhan RM194,200 bagi membantu siasatan.

Katanya, siasatan mendapati modus operandi sindiket dengan menyeludup dadah menggunakan perkhidmatan kurier untuk pasaran antarabangsa termasuk Australia, Indonesia dan Filipina, selain Sabah serta Sarawak.


“Perkhidmatan kurier itu dikesan di Jalan Sultan Azlan Shah dan Jalan Kuching yang aktif sejak enam bulan lalu.

“Kita mendapati satu sindiket menggunakan kaedah menyembunyikan dadah dalam alat penyedut asap dapur bagi mengaburi polis. Mereka boleh letak dalam lima bungkusan dadah dengan berat kira-kira lima kg setiap satu ke dalam alat itu.

“Satu lagi sindiket bungkus dadah guna teh Cina sebelum diletakkan dalam kotak,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Razarudin berkata, 11 suspek mempunyai rekod jenayah, manakala hasil ujian saringan ujian air kencing mendapati empat orang positif syabu.

“Semua suspek direman 12 hari bermula 30 November lalu mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“JSJN akan terus mengesan saki baki ahli sindiket terbabit untuk dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Tamat