KUCHING: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM) menasihatkan semua pemegang Sijil Perakuan Pengendali Udara (AOC) terbabit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 membuat persediaan seperti mengamalkan tahap keselamatan paling terbaik serta beroperasi mengikut had dan keupayaan pesawat.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Kapten Chester Voo, berkata susulan keadaan hujan dan ribut semasa, adalah lebih baik juruterbang helikopter menangguhkan pendaratan sehingga cuaca bertambah baik.

“Pengendali perkhidmatan udara perlu sentiasa memastikan kru operasi mendapat maklumat keadaan cuaca terkini serta menerapkan pengetahuan tempatan mengenai perubahan cuaca. Apabila tidak pasti atau wujud keraguan, juruterbang tidak boleh teragak-agak untuk menangguhkan pendaratan.

Pengendali dinasihatkan sentiasa berwaspada dan peka dengan situasi semasa di lapangan serta melakukan semakan penuh butiran penerbangan sebelum perjalanan, di samping memastikan semua taklimat keselamatan dilakukan dengan teliti bagi memastikan risiko dapat dikurangkan ke tahap yang terbaik,” katanya kepada Bernama.

Perkhidmatan pesawat seperti helikopter sering digunakan oleh calon dan ahli politik ketika PRN di Sarawak, terutama untuk berkempen di kawasan tanah tinggi, pedalaman dan terpencil dengan akses jalan raya yang terhad.


Voo berkata, CAAM sentiasa memantau sebarang penerbangan dilakukan secara haram dan akan mengambil tindakan segera terhadap pelanggaran peraturan membabitkan operasi helikopter.

Beliau turut mengingatkan pemegang AOC supaya memberi perhatian terhadap butiran seperti memastikan pemeriksaan awal dijalankan secara teliti dan semua pesawat diselenggara dengan baik.

“Selain itu, pemegang lesen perlu memantau keletihan kru dan sentiasa mengekalkan kesedaran pada tahap tinggi mengenai persekitaran dan keadaan semasa di lapangan.

“Langkah sedemikian diambil supaya setiap penerbangan yang dilakukan akan pulang dengan selamat dan peka terhadap perubahan cuaca bagi memastikan keputusan yang selamat dibuat setiap masa.” katanya

Tamat

Sumber – BERNAMA