Seorang penolong pegawai perubatan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam pertuduhan menerima suapan berjumlah RM1,750 bagi kerja-kerja pengurusan jenazah sejak tahun lalu hingga tahun ini.

Tertuduh, Mohd. Fariq Ariffin, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim M. Bakri Abd. Majid.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Fariq yang bertugas di Hospital Kajang didakwa menerima suapan wang tunai antara RM100 hingga RM600 daripada seorang individu dengan jumlah keseluruhan RM1,750 melalui akaun CIMB Bank milik tertuduh.

Suapan itu sebagai upah bagi melakukan suatu perbuatan berhubungan dengan hal ehwal prinsipalnya iaitu memberikan kerja pengurusan enam jenazah orang Islam dari Unit Forensik Hospital Kajang.

Perbuatan tersebut dilakukan di CIMB Bank Cawangan Bercham di Taman Medan Bercham, Ipoh antara 28 April 2020 hingga 5 Februari 2021.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah 24(1) Akta sama.about:blank

Jika sabit kesalahan, Mohd. Fariq boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Pada prosiding sama, tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan pilihan iaitu menerima suapan dengan jumlah sama daripada individu serupa sebagai tanpa balasan bagi kerja pengurusan enam jenazah Islam dari Unit Forensik Hospital Kajang.

Perbuatan itu dilakukan di lokasi dan tarikh yang sama.

Bagi pertuduhan pilihan, dia didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Fadhli Ab Wahab manakala tertuduh diwakili peguam, Syahrul Nizam Mohd. Rabi.

Mahkamah membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dengan syarat tambahan perlu melapor diri di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap awal bulan dan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah turut membenarkan kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 10 Januari 2022 sebagai tarikh sebutan kes bersama tertuduh lain.

Semalam, tiga kakitangan awam termasuk seorang Penolong Pegawai Kesihatan di Hospital Kajang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tuduhan menerima rasuah bernilai RM4,950 sekitar tahun 2019 hingga 2021. – UTUSAN ONLINE