Perpaduan dan keseimbangan politik dalam Malaysia perlu mempunyai tiga parti utama Islam dan Melayu sebagai penggerak masa depan negara.

Menurut Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, penyatuan bangsa dan agama ini merupakan contoh legasi yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad SAW untuk dijadikan ikutan sepanjang zaman.

“Pendekatan Rasulullah SAW ialah mendahulukan penyatuan umat Islam yang terdiri daripada kalangan Muhajirin, Ansar daripada kalangan Aus dan Khazraj, serta semua kabilah-kabilah lain dan individu yang menganut Islam.

“Perkara ini sangat mustahak supaya umat Islam yang bersatu menjadi tonggak kepada kehidupan masyarakat majmuk.

“Kemudian, diikuti oleh kalangan bukan Islam yang tidak melampau (ekstrem) daripada pelbagai kaum, sama ada Arab mahupun bukan Arab. Termasuklah daripada kalangan pelbagai agama bukan Islam seperti Yahudi, Kristian dan Musyrikin,” katanya melalui laman Facebook rasmi milik beliau hari ini.

Menurut sekiranya kesepaduan ini tidak dapat dipupuk maka bakal wujud provokasi dari pihak musuh dalam usaha melaga-lagakan sesama sendiri untuk melihat siapa lebih hebat seperti hari ini

Hadi Awang berkata, umat Islam di Malaysia dapat disatukan melalui pendekatan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

“Permulaannya dengan perpaduan Islam dan Melayu serta bumiputera dengan gagasan Muafakat Nasional (MN). Seterusnya mengumpulkan tiga buah parti Melayu terbesar (UMNO, PAS dan BERSATU) bersama rakan-rakan daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi menyempurnakan usaha bagi menukar kerajaan secara Demokrasi Berparlimen.

“Seterusnya bergerak ke arah penyelesaian masyarakat majmuk, maka mestilah diikuti oleh penyertaan daripada kalangan parti bukan Melayu dan bukan Islam dengan menubuhkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Melayu dan Islam itu bukan sahaja melibatkan UMNO dan PAS, tanpa BERSATU. Perpaduan tersebut tidak lengkap dan tidak akan mencapai tujuan tanpa kebersamaan tiga parti Melayu terbesar termasuklah BERSATU bagi mencapai hikmahnya,” katanya.

Oleh itu, keanggotaan Muafakat Nasional (MN) tidak terhad kepada UMNO dan PAS ataupun BERSATU sahaja. Adapun perpaduan umat pula bukan hanya merangkumi kelompok Melayu dan Islam sahaja, tetapi mestilah juga meliputi seluruh masyarakat majmuk termasuklah golongan bukan Islam dan bukan Melayu, seru Hadi Awang.

Beliau berkata dalam usaha mengekalkan kesepaduan ini, betapa peranan yang dipergunakan oleh pihak tertentu yang gilakan kuasa untuk menggagalkan perpaduan umat.

“Pada masa yang sama, golongan tersebut berusaha untuk memecahbelahkannya dengan provokasi yang dicipta atau diolah mengikut perancangannya yang jahat terhadap umat.

“Perkara tersebut dilakukan semata-mata demi memenuhi kehendak dan kepentingan peribadi. Antara tindakan yang dilakukan ialah mengadu domba pada titik perbezaan yang wujud, walaupun perkara tersebut tidak penting dan meninggalkan perkara yang lebih penting.

“Selain itu, turut mempergunakan peranan media sebagai tentera upahan mereka dengan cara putar belit berita supaya terpesong dan berlaku salah faham.

“Begitu juga mencipta berita palsu yang diusahakan supaya bebas daripada sebarang tindakan undang-undang ataupun mengubah kepada memenuhi agenda peribadi dan kelompok, bukan lagi masyarakat majmuk dan bukan juga perpaduan umat,” katanya.

Menurutnya beliau menekankan persetujuan ini telah dibuat untuk menghimpunkan ketiga-tiga parti terbesar Melayu iaitu UMNO, PAS dan BERSATU. Penyertaan BERSATU ke dalam MN adalah untuk melayari perubahan dalam negara secara bersama, tetapi malangnya ia tidak ditepati dan tidak ditunaikan.

Tamat