Mahkamah Tinggi hari ini terpaksa menangguhkan lagi sekali perbicaraan kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor, berikutan status MySejahtera isteri bekas perdana menteri itu masih berwarna jingga.

Ini berikutan Rosmah mempunyai kontak rapat dengan pesakit COVID-19 beberapa hari lalu.

Oleh itu peguam bela, Datuk Jagjit Singh, yang mewakili Rosmah, memberitahu mahkamah yang anak guamnya hadir dengan status MySejahtera belum bertukar biru dan perkara itu disahkan pendaftar mahkamah.

Mendengar perkara itu, Hakim Mohamed Zaini Mazlan, melapangkan tarikh perbicaraan dan memohon pihak pembelaan mengemaskini status Rosmah pada Isnin ini, untuk mengetahui sama ada status MySejahtera masih jingga atau sebaliknya.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram, kemudian mencadangkan perbicaraan itu dijalankan secara hibrid, di mana Rosmah boleh memberi keterangan secara dalam talian, sama ada di pejabat peguam mahupun di rumah dengan kehadiran pihak pembelaan dan pendakwaan.

Mendengar saranan itu, Mohamed Zaini berkata, beliau ada memikirkan pendekatan itu, namun tiada peruntukan undang-undang mengenainya.

“Saya tidak mahu menjejaskan keseluruhan perbicaraan hanya sebab ia okay pada peringkat ini. Saya mahu lebih berhati-hati,” katanya.

Mohamed Zaini kemudian menetapkan tarikh tambahan bagi perbicaraan itu memandangkan masih ada dua saksi pembelaan yang perlu memberi keterangan.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 23 hingga 24 Disember ini dan 13 serta 14 Januari depan untuk perbicaraan kes.

Selasa lalu, mahkamah menangguhkan perbicaraan kes itu berikutan status MySejahtera isteri bekas Perdana Menteri itu menunjukkan beliau mempunyai kontak dengan pesakit COVID-19.

Pada perbicaraan lalu, mahkamah membenarkan pernyataan Rosmah yang dirakam ketika siasatan kes pengubahan wang haram, digunakan untuk mencabar kredibiliti beliau pada perbicaraan kes rasuah projek solar.

Rosmah, 70, dituduh meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, berkaitan projek tenaga solar itu menerusi bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor.

Ia sebagai balasan kerana membantu Jepak Holdings memperoleh Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel untuk 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion daripada Kementerian Pendidikan secara rundingan terus.

Rosmah dituduh melakukan kesalahan itu di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra di sini; di kediaman Rosmah di Jalan Langgak Duta, Taman Duta serta di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan September 2017.

Tamat