Syabu dan pil yaba punya penangan mampu melentokkkan seorang buruh di dalam sebuah stor stor sambil bersila di atas tilam dengan begitu tenang walaupun diserbu pihak berkuasa.

Ketika serbuan pihak polis dilakukan lelaki berusia 33 tahun itu, dipercayai sedang lalok, dan ditahan bersama 160 biji pil yaba dan 7.44 gram syabu bernilai keseluruhan RM2,200 di dalam sebuah stor perabot di Kampung Jabur Chetok di sini pada awal pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, dalam serbuan kira-kira jam 1.30 pagi itu, lelaki berkenaan ditemui di dalam sebuah bilik yang terletak di dalam stor berkenaan.

“Lelaki itu ditemui sedang duduk bersila di atas tilam disyaki sedang menghisap dadah. Pemeriksaan awal pada badan suspek tidak menemui barang salah, namun pihak kami menemui beg berzip di atas tilam dan menemui semua barang yang dirampas.

“Suspek mengaku dadah yang ditemui adalah miliknya dan mendapat bekalan daripada seorang lelaki yang dikenali sebagai ‘Abe’.

“Dia sering kali mendapat bekalan dan berurusan dengan individu berkenaan di tepi Jalan Chetok di Kampung Pasir Parit,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada semalam.

Dalam perkembangan lain, Mohd Nasaruddin berkata, pihaknya menahan seorang lagi buruh berusia 31 tahun di sebuah rumah di Kampung Apam Repek di sini pada jam 3.30 petang Rabu.

Menurutnya, lelaki berkenaan ditemui sedang duduk bersila di atas tilam di dalam rumah berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata, pihaknya menemui satu bekas besi aluminium berwarna biru dan menemui 5.4 gram syabu serta dua biji pil yaba dengan nilai keseluruhan RM570.

Tamat