Kementerian Pertanian Dan Industri Makanan (MAFI) kini menerajui usaha bagi memperkukuhkan sekuriti bekalan makanan negara di samping bertujuan mengurangkan kebergantungan negara kepada beras import.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, berkata walaupun industri padi dan beras negara penting, negara mengimport hampir 30 peratus bagi memenuhi keperluan penduduk negara ini dengan pelaksanaan program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB).

Menurutnya, tujuan utama SMART SBB ialah meningkatkan hasil padi domestik melalui pembabitan pihak swasta sedia ada dalam industri menerusi pelaburan modal, kepakaran dan keupayaan teknologi yang dimiliki oleh mereka.

“SMART SBB menyasarkan peningkatan purata hasil padi nasional kepada tujuh tan metrik sehektar dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), berbanding purata hasil sekarang antara 3.5 hingga 4.3 tan metrik sehektar.

“Peningkatan hasil akan membantu pencapaian Tahap Sara Diri beras negara kepada 75 peratus menjelang tahun 2025 atau sebelum berakhir RMK-12,” katanya menjawab soalan lisan Senator Dato’ Juhanis Abd Aziz di Dewan Negara, hari ini.

Nik Muhammad Zawawi berkata, program ini bertujuan menyatupadukan penggunaan sumber menerusi penyatuan pengurusan sawah dan memodenkan aktiviti penanaman padi menerusi penggunaan teknologi dan mekanisasi terkini.

Menurutnya penggemblengan sumber lebih mudah dilakukan menerusi satu pengurusan, manakala kos tambahan akan diserap oleh syarikat peneraju.

“Impak program ini bakal meningkatkan pendapatan pesawah yang majoriti masih berada dalam kategori B40 kerana mengusahakan sawah secara individu dan bersaiz tidak ekonomik, iaitu kurang daripada dua hektar.

“Penyertaan pesawah membantu mereka menjana pendapatan tambahan menerusi peningkatan hasil dan pengurangan kos pengeluaran,” katanya

Tamat