Ipoh – Kes buli di sebuah sekolah berasrama yang memaparkan aksi tumbuk di perut, hampir selesai apabila pihak polis memanggil semua pelajar berkenaan untuk memberi keterangan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, terdapat tujuh remaja bersama seorang mangsa masing-masing berusia 13 tahun dikenal pasti terlibat dalam kes berkenaan.

Menurutnya, turut dipanggil memberi keterangan adalah pemilik akaun media sosial yang menularkan video terbabit.

“Kita telah menerima satu laporan berkaitan kes itu daripada pengetua sekolah tersebut pada hari ini (Jumaat) sekitar jam 1 petang berikutan tularnya video di media sosial serta mendapat perhatian netizen.

“Polis telah mengambil tindakan memanggil semua pelajar dan pemilik akaun media sosial terlibat bagi memberi keterangan untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, siasatan awal dijalankan mendapati, kejadian itu berlaku pada Khamis antara jam 1 hingga 2 pagi melibatkan tujuh pelajar dan seorang mangsa berusia 13 tahun.

Katanya, kejadian itu dikenal pasti berlaku di sebuah sekolah berasrama penuh di daerah Kuala Kangsar.

“Polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian ini kerana dibimbangi boleh mengganggu siasatan dilakukan pihak polis,” katanya.

Tamat