Sasaran dana wakaf bernilai RM300,000 yang bakal digerakkan menerusi konsep wakaf bertempoh di bawah kerjasama Program iTEKAD CIMB Islamic Rider Enterpreneur serta Yayasan Wakaf Malaysia dalam usaha mengembangkan ekonomi umat Islam diperkenalkan.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, usaha tersebut merupakan inisiatif baharu yang diperkenalkan dalam usaha membantu golongan belia dan individu terjejas dengan pandemik Covid-19 sebagai penjana ekonomi keluarga.

Menurutnya, program berkenaan akan membantu mendidik penerima terlibat untuk menguruskan kewangan dengan baik di samping meningkatkan skil perniagaan untuk jangka masa panjang.

“Menerusi sesi Closed Door Intelellectual Discourse on Wagf Muaqqat anjuran Yayasan Waqaf Malaysia dengan kerjasama CIMB Islamic Bank pada 4 Ogos 2021, Jawatankuasa dan Panel Syariah kedua-dua agensi telah bersetuju dengan penggunaan konsep dan struktur Wakaf Bertempoh bag Program iTEKAD CIMB Islamic Rider Entrepreneur.

“Pendekatan prinsip wakaf dalam pelaksanaan program ini adalah pewakaf merupakan orang awam / mana-mana institusi yang berminat.

“Harta yang diwakafkan adalah motosikal; Penerima wakaf pula adalah peserta Program iTEKAD CIMB Islamic Rider Entrepreneur; dan Penyataan wakaf akan dinyatakan secara jelas dalam dokumen wakaf.

“Pengaplikasian Wakaf Bertempoh bagi menjayakan pelaksanaan program ini adalah selama 12 bulan di mana permulaan dan pengakhiran tempoh wakaf tertakluk kepada tarikh penyerahan harta wakaf (iaitu motosikal) kepada penerima wakaf,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kutipan Wakaf Tunai YWM, di sini pada Rabu.

Beliau menjelaskan, kaedah pelaksanaan yang berkonsepkan ariyah atau pinjaman akan diguna pakai.

Tamat